15 July, 2021

YDPA: WE WANT NEW PM (XIV)

PERSIDANGAN PARLIMEN 26 JULAI: PELUANG KERAJAAN PN BUKTIKAN MENDAPAT SOKONGAN MAJORITI DI DEWAN 

Mohammad Agus Yusof 15/07/2021


1. Kelmarin, berlaku dua peristiwa yang memerlukan ulasan. Pertama, jemaah menteri selepas mesyuaratnya mengumumkan mengekalkan sokongan mereka kepada PM.  Alasannya, untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara demi membawa negara keluar dari pandemik Covid-19.  Kedua, negara mencatatkan rekod Covid tertinggi sebanyak 11,618 kes. 


2. Pertanyaannya, apa signifikannya apabila kesemua menteri menyatakan sokongan penuh kepada PM?  Sebagai memenuhi konsep tanggungjawab kolektif, wajar sahaja semuanya menyokong.  Jika tidak, menteri yang berseberangan perlu meletakkan jawatan. 


3. Lebih signifikan lagi yang perlu diketahui ialah sokongan majoriti bukan ditentukan oleh menteri, tetapi 222 ahli parlimennya.  Oleh sebab itulah, jika tujuan melaporkan semua menteri menyokong PM adalah untuk menunjukkan PM mempunyai majoriti, itu tidak menjawab persoalan asas yang menjadi perdebatan sekarang: apakah PM mempunyai majoriti untuk terus berkuasa? 


4. Mengenai kes Covid yang tertinggi kelmarin, ia menunjukkan penggantungan parlimen dengan tujuan untuk mengurus Covid telah gagal.  Mengapa gagal?  Bagi mengetahui sebabnya, maka wajar sekali ahli parlimen pada 26 Julai nanti bukan sahaja sekadar mendengar pembentangan Ordinan Darurat 2021, tetapi diberi peluang membahaskan hal-hal berkaitan dengan pengurusan Covid ini--baik itu belanja vaksin, pelan pemulihan kerajaan dan lainnya.


5. Di pihak kerajaan pula, ini peluang terbaik untuk menguji sokongan [majoriti]nya.  Dalam keadaan negara menghadapi pelbagai isu kesihatan dan ekonomi, kerajaan perlu mengesahkan legitimasinya dan mengembalikan fungsi parlimen. 


6. Legitimasi kerajaan ini penting kerana sebab berikut: (i) memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan, (ii) meyakinkan pelabur dan pasaran, (iii) menghentikan politiking dengan tekaan jajaran parti baharu, (iv) menghentikan spekulasi ahli parlimen A atau B menyokong siapa, dan (v) menstabilkan politik negara.


7. Pertanyaannya, jika mengundi di Dewan siapa menang ?  Pertanyaan ini dan pengumuman semua menteri menyokong PM kelmarin--kedua-duanya tidak relevan difikirkan.  Serahkan sahaja kepada kebijaksanaan ahli parlimen untuk memikirkan parti mana, siapa dan kerajaan mana yang terbaik untuk negara.  Mereka yang mempunyai kuasa mengundi.


8. Bagaimana jika kerajaan gagal mendapat undi percaya? Serahkan sahaja pada PM untuk nasihatkan baginda Agong.  Kemudian, serahkan kepada Agong untuk membuat keputusan mengikut budi bicara baginda (Perkara 40(2)).


9. Tetapi jika ditanya saya, apakah kita perlu pilihan raya jika berlaku sesuatu di luar jangka. Jawapan saya tidak.  Suasana sekarang tidak kondusif untuk kita mengadakan pilihan raya.  


10. Jika begitu, apakah tujuan saya menulis pandangan ini? Secara sederhana, dua sahaja, iaitu:  (i) meminta kerajaan menyelesaikan masalah legitimasi ini dengan menguji sokongannya di dewan pada 26 Julai nanti, dan (ii) meminta kerajaan membuka parlimen kerana data menunjukkan darurat tidak berkesan untuk mengawal Covid.


11. Susahkah kita hendak memahami legitimasi ini?  Saya petik kata-kata Malcom Gladwell tentang prinsip legitimasi:

 

… legitimacy is based on three things.  First of all, the people who are asked to obey authority have to feel like they have a voice—that if they speak up, they will be heard.  Second, the law has to be predictable.  There has to be a reasonable expectation that the rules tomorrow are going to be roughly the same as the rules today.  And third, the authority has to be fair.  It can’t treat one group differently from another.


Negara perlu stabil untuk maju. Rakyat perlu makmur untuk sejahtera.

No comments:

Post a Comment