Keadian yg menimpa staff PPMSB semalam.
MELAKA: "Saya terperanjat apabila lelaki itu tiba-tiba menerpa ke dalam kereta sebelum terus memandu kerana enjin tidak dimatikan ketika ayah turun melihat kerosakan akibat dilanggar dari belakang.
"Badan saya menggigil dan dalam keadaan kelam-kabut itu terpaksa menjerit sekuat hati serta menumbuk bahu lelaki terbabit berkali-kali sebelum menyuruhnya berhenti," kata pelajar wanita Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim), Norfadzilah Nazirah Ghazali, 18, ketika menceritakan detik cemas terselamat selepas beberapa minit dilarikan seorang daripada tiga penjenayah yang menyamun Toyota Wish dipandu bapanya, kira-kira jam 6.40 pagi semalam di depan Ozana Resort di sini.
Menurutnya, lelaki berusia 30-an itu dipercayai tidak menyedari dia duduk di bahagian belakang sebelum terkejut mendengar jeritannya lalu cuba merampas telefon bimbitnya. Namun, katanya, dia dapat merampas semula telefon itu selepas bergelut dan memukul bahu lelaki terbabit yang turut menjerit dan mengarahkannya supaya terjun dari kereta.
"Tergamam dengan tindakan lelaki itu, saya nekad terjun keluar apabila lelaki itu memperlahankan kereta dan menyuruh saya terjun," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Duyung, dekat sini, semalam. Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia trauma kerana berlaku pada hari ulang tahun kelahirannya dan sedang menduduki peperiksaan akhir semesta pertama di Kuim, Kuala Sungai Baru.
Sementara itu, bapanya, Ghazali Md Tion,44, kakitangan Petronas berkata, dia menyedari sebuah kereta mengekori rapat kenderaannya ketika memandu di Jalan Bukit Katil berhampiran simpang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun tidak mengesyaki apa-apa. "Kali pertama saya rasa seperti kereta dilanggar tetapi tidak berhenti kerana was-was. Saya meneruskan perjalanan dan sebaik tiba di depan Ozana Resort Bukit Katil, sekali lagi terasa kereta dilanggar tetapi lebih kuat.
"Saya berhenti untuk memeriksa kereta dan berbincang dengan pemandu Proton Wira dengan nombor pendaftaran MAU 3632 sebelum lelaki terbabit meminta saya membuat laporan polis atau menyelesaikan masalah itu di tempat kejadian sebelum dia terus meluru masuk dalam kereta dan memandu serta melarikan anak perempuan saya. "Saya terkejut dan cuba mengejar sebelum tersungkur dan luka di tangan dan muka," katanya.
Menurutnya, dalam keadaan kesakitan, dia cuba mengejar dan menjerit memanggil nama anaknya manakala Proton Wira yang dinaiki dua lelaki itu turut mengikut rakan mereka yang melarikan keretanya yang baru dibeli kira-kira 10 bulan lalu. "Saya bersyukur kerana anak saya terselamat dan tidak cedera. Hanya Allah tahu betapa bimbang saya apabila melihat anak perempuan saya dilarikan.
"Macam-macam perkara buruk terlintas dalam fikiran ketika itu dan saya tidak kisah hilang kereta kerana lebih penting nyawa anak saya selamat," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka. Dia membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh berhubung kejadian itu.
# CEGAH JENAYAH SEBELUM PARAH. PENJENAYAH HARI INI PERLU PENDEKATAN PENCEGAHAN YG BARU, HUKUMAN LEBIH BERAT DAN SEBATAN SEBAGAI HUKUMAN WAJIB MESTI DILAKSANAKAN.
No comments:
Post a Comment